Online Diary Kisah Ahli Ibadah Yang Derhaka | ANISAH AFIFAH >

Saturday, 23 February 2019

Kisah Ahli Ibadah Yang Derhaka

Image result for ahli ibadah
Ada seorang ahli ibadah dalam kalangan Bani Israel. Dia adalah orang yang paling taat dan tekun beribadah pada zamannya. Suatu hari, tiga orang lelaki yang bersaudara memiliki seorang saudara perempuan datang bertemunya.
Tiga bersaudara ini hendak pergi berperang, mereka buntu siapakah yang akan menjaga dan melindungi saudara perempuan mereka. Mereka bersepakat untuk meninggalkan saudara perempuan mereka kepada ahli ibadah itu sehingga mereka bertiga kembali dari peperangan.
Namun, ahli ibadah itu menolak permintaan mereka bertiga dan memohon lindungan Allah dari segala fitnah saudara perempuan mereka. Mereka terus memujuk ahli ibadah itu hingga akhirnya dia bersetuju.
Ahli ibadah itu berkata, "Suruhlah dia menginap di sebuah bilik di lantai bawah biaraku (tempat beribadah)." Maka, mereka menempatkan saudara perempuan mereka lalu meninggalkannya. Perempuan itu berada di tempat ahli ibadah dengan lamanya.
Dan selama itu ahli ibadah akan turun untuk memberi makan kepada perempuan itu. Dia meletakkan makanan di hadapan pintu biara kemudian dia naik ke atas semula. Setelah itu, perempuan itu akan keluar mengambil makanannya.
Syaitan sangat bersabar menghadapi ahli ibadah itu dan sentiasa membuatnya senang melakukan kebaikan, sambil merisaukan ahli ibadah itu jikalau perempuan itu keluar pada siang hari, akan ada orang lain melihat dan mengetahui keberadaan perempuan itu di biaranya.
Maka, syaitan secara halus menambah tipu dayanya dengan berkata kepada ahli ibadah, "Andaikan engkau mahu berjalan ketika membawanya makanan, kemudian engkau letakkan di hadapan pintu biliknya, tentu pahalamu lebih besar."
Syaitan terus menerus memujuknya sehingga dia menurut perintah. Dia berjalan mendekati pintu bilik perempuan dan meletakkan makanan di hadapan pintu biliknya lalu berlalu tanpa bercakap sedikit pun. Ini berterusan sehingga beberapa lama.
Kemudian, syaitan mendatangi ahli ibadah dan menganjurkan kepadanya satu kebaikan. Syaitan berkata, "Jikalau engkau berjalan membawa makanannya dan meletakkannya di dalam biliknya, tentu pahalamu semakin besar."
Iblis selalu membisikkan kejahatannya sehingga akhirnya ahli ibadah itu menurut perintah dan meletakkan makanan di dalam bilik perempuan itu. Ini berlaku sehingga beberapa lama.
Kemudian, syaitan membisikkan kejahatannya kepada ahli ibadah akan kebaikan, "Andai engkau bercakap dan berbincang dengannya, tentu engkau akan dapat menjaganya kerana dia akan menjadi mangsa binatang buas."
Syaitan sentiasa memujuknya sehingga ahli ibadah itu akurdan mahu bercakap dan bersembang dengan perempuan itu dari lantai atas tempat biaranya ke lantai bawah biara perempuan itu sehingga beberapa lama.
Setelah itu, syaitan mendatangi ahli ibadah dan berkata, "Andai kata engkau mahu turun ke biliknya, duduk di depan pintu biaramudan mengajak bersembang sementara dia juga dapat berbual denganmu tentu hal ini lebih dia sukai."
Ahli ibadah itu pun terpedaya dan melakukannya. Perempuan itu keluar dari biliknya dan duduk di depan pintu. Ini berlaku sehingga lamanya.
Syaitan meneruskan tipu dayanya dengan berbisik, "Andai kata engkau keluar dari biaramu dan duduk berbincang di hadapan pintu biliknya tanpa dia perlu keluar dari biliknya, tentu dia lebih suka." Ahli ibadah itu sekali lagi tewas dan melakukannya.
Bisikan diteruskan dengan syaitan menyuruh ahli ibadah itu masuk ke dalam bilik perempuan itu untuk berbincang dengannya tanpa diketahui seorang pun. Lalu, ahli ibadah bersetuju dan masuk ke dalam bilik perempuan itu.
Syaitan terus mendatangi dan memujuk ahli ibadah itu sehingga dia berani memegang peha perempuan itu dan memeluknya. Syaitan mengatakan bahawa hal itu adalah kebaikan hingga akhirnya dia meyetubuhi perempuan itu sehingga mengandung.
Ketika anak dalam kandungan perempuan itu lahir, syaitan meneruskan tipu dayanya dengan membisikkan kepada ahli ibadah itu dan berkata, "Bagaiman kalau saudara lelakinya itu pulang. Apakah yang engkau mahu jawabkan jikalau mereka mengetahui dosamu ini? Tentu engkau tidak sanggup mencemarkan nama baikmu. Lebih baik engkau bunuh bayi itu dan kuburkan mayatnya. Tentu perempuan itu akan menjaga rahsia kerana dia juga takut perbuatannya ini diketahui oleh saudara lelakinya." Maka, ahli ibadah itu menurut perintah syaitan.
Setelah itu, syaitan berbisik lagi, "Apakah menurut engkau perempuan itu akan menyembunyikan dari saudaranya mengenai perbuatan dirimu terhadapnya dan anaknya? Ambillah perempuan itu, bunuh dia dan kuburkannya bersama anaknya." Maka, ahli ibadah itu menurut.
Dia juga meletakkan seketul batu yang besar di atas kubur perempuan itu dan anaknya setelah meratakan tanahnya. Setelah itu dia naik ke atas biaranya dan beribadah kepada Allah.
Dengan takdir Allah, tidak berapa lama selepas itu saudara lelaki perempuan itu pulang dari peperangan. Mereka mendatangi ahli ibadah untuk menjemput kembali saudara perempuan mereka.
Ahli ibadah itu menangis dan menunjukkan belas kasihnya terhadap saudara perempuan mereka, lalu dia berkata, "Dia adalah seorang wanita yang paling baik dan itu adalah kuburnya." Mereka mendatangi kubur perempuan itu dan menangis. Mereka pulang setelah beberapa hari di kuburan.
Pada malam harinya, syaitan telah mendatangi mereka melalui mimpi dengan menyerupai seorang lelaki musafir. Syaitan mendatangi saudara yang paling tua dan betanya mengenai nasib saudara perempuan mereka. Lelaki itu menjawab seperti apa yang diberitahu ahli ibadah.
Namun, syaitan itu menyangkal dan berkata, "Ahli ibadah itu berbohong. Saudara perempuan kamu telah mengandung dan melahirkan bayi kerana perbuatan ahli ibadah itu, kerana berasa takut kepada kamu, dia telah membunuh keduanya lalu menguburkan mereka di balik pintu sebelah kanan bilik saudara perempuan kamu. Pergilah ke sana, dan tentu kamu akan mendapati bukti apa yang aku katakan ini.
Syaitan juga mendatangi dua lagi saudaranya dan mengatakan hal yang serupa. Sesudah bangun daripada tidur, masing-masing menceritakan mimpi mereka dan berasa hairan kerana semua mimpi mereka serupa.
Akhirnya, mereka bersepakat untuk memeriksa tempat itu. Mereka membuka pintu dan mencari-cari tempat seperti yang diberitahu di dalam mimpi itu. Mereka menemui jenazah saudara perempuan dan anaknya terkubur di tempat itu.
Lantas, mereka menemui ahli ibadah untuk menuntut penjelasan. Tiada pilihan bagi ahli ibadah itu lalu dia mengakui akan dosanya. Merea menurunkan ahli ibadah dari biaranya untuk disalib sebagai hukuman.
Ketika ahli ibadah itu sedang diikat, syaitan menemuinya lantas berkata, "Tentunya engkau sudah tahu bahawa akulah yang sebenarnya menggodamu dengan kehadiran wanita itu, lalu engkau membuatnya mengandung dan membunuh dia serta anaknya. Jikalau pada saat ini engkau tunduk dan kufur kepada Allah yang telah menciptakanmu, tentu engkau akan selamat daripada keadaan yang menimpamu ini."
Maka, ahli ibadah itu menyatakan kekufurannya kepada Allah. Namu, syaitan laknatullah meninggalkannya begitu sahaja dan mebiarkan orang menyalibnya. Kerana peristiwa ini, Allah menurunkan ayat 16 surah al-Hasyr,
Image result for ayat 16 surah al-hashr
Maksudnya: (Sikap kaum munafik dengan kaum Yahudi) itu samalah seperti (sikap) Syaitan ketika ia berkata kepada manusia, "Berlaku kufurlah engkau!" Setelah orang itu berlaku kufur (dan tetap terkena azab). berkatalah Syaitan kepadanya, "Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada Allah, Tuhan yang menguasai seluruh alam!"
Manusia yang berpegang teguh kepada sunnah baginda Nabi tidak akan mudah dihasut oleh hasutan syaitan dan iblis. Kerana hati mereka itu menjadi kuat dan tidak mudah untuk dicerobohi oleh godaan syaitan.
Manakala manusia yang hanya mengikuti nafsunya tanpa ada apa-apa pegangan, maka manusia ini menjadi satu objek yang mudah untuk diperalatkan oleh syaitan. Kerana hati mereka mudah dicerobohi dan dikuasai oleh syaitan
Kisah ini menunjukkan syaitan memujuk dengan berbekal perangkap kebaikan, iaitu berbuat baik dan pahala namun sedang disasarkan kepada dosa besar.
Nabi bersabda: "Sesungguhnya ada seorang hamba yang menurut pandangan orang banyak mengamalkan amalan penghuni syurga, namun berakhir menjadi penghuni neraka. Sebaliknya, ada seorang hamba yang menurut pandangan orang melakukan amalan penduduk neraka, namun berakhir dengan menjadi penghuni syurga. Sesungguhnya amalan itu dilihat dari akhirnya." (Rekod oleh Bukhari, no. 6493)
Syaitan dan Iblis juga jelas menggemblenhkan lebih usaha dalam jenis dosa berangkai seperti disebut dalam kisah ini. Ia bermula dengan zina, membunuh, menipu dan akhirnya terus tertipu dek janji iblis lalu mati dalam kekufuran. Semoga Allah menjauhkan kita dari keadaan buruk sebegitu.

Wallahua'lam.

If you love this entry click Like and Comment

0 00 nak komen:

 
Copyright © . All Right Reserved by Lyssa Faizureen